ARAB SAUDI BERI 70 PERATUS KUOTA HAJI TAHUN INI UNTUK PENDUDUK WARGA ASING

(Gambar oleh: AFP)

MAKKAH: Arab Saudi pada Isnin umum pembukaan pendaftaran bagi penduduk warga asing di negara itu yang berhasrat untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.

Menurut agensi berita Arab News, daripada 10,000 jemaah yang diperuntukkan menunaikan haji tahun ini susulan penularan COVID-19, 70 peratus daripadanya dikhaskan untuk penduduk warga asing manakala baki 30 peratus untuk rakyat tempatan.

Keutamaan akan diberikan kepada jemaah yang tidak mempunyai penyakit kronik dan mereka yang terpilih akan menjalani proses saringan COVID-19 selain perlu melakukan kuarantin 14 hari sebelum dan selepas menunaikan ibadah haji.

Selain itu kebenaran juga diberikan kepada mereka yang tidak pernah menunaikan haji sebelum ini dan berumur antara 20 hingga 50 tahun.

Penduduk warga asing yang memenuhi kriteria yang ditetapkan boleh mendaftar di localhaj.haj.gov.sa.
Tarikh pendaftaran yang bermula pada Isnin (6 Julai) akan berakhir pada Jumaat ini (10 Julai). – AlHijrah Online

Leave a Reply