ARAB SAUDI UMUM BERJAYA ‘TEWASKAN’ COVID-19

Hanya tiga jam dibenarkan untuk setiap jemaah menyempurnakan ibadah umrah masing-masing. Imej: Handzalah Abdullah

RIYADH: Hanya merekodkan 139 kes baharu semalam. Statistik itu disifatkan Arab Saudi sebagai sesuatu yang amat membanggakan, sekali gus mendorong negara itu mengisytihar kemenangan ke atas virus COVID-19.

Angka terbaharu itu pertama kali dicapai di bawah 150, sejak dunia diancam virus pembunuh itu, suku pertama tahun ini.

Menerusi laporan mingguannya, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan sebahagian besar wilayah di negara itu kini berstatus ‘zon selamat’.

“Kami (Arab Saudi) adalah negara yang dilihat berjaya mengawal jangkitan, selain mencatat siri penurunan kes kebelakangan ini”.

Dr. Mohammed Al-Abd Al-Aly, Jurucakap Kementerian Kesihatan Arab Saudi

Menurut Dr. Mohammed Al-Abd lagi, kejayaan itu hasil disiplin dan pematuhan SOP yang diamalkan rakyat negara itu. Katanya lagi, jika tiada kerjasama antara masyarakat dengan pihak berkuasa dalam urusan mengawal penularan virus berkenaan, kejayaan itu mustahil untuk dicapai.

Berikutan situasi pandemik yang membelenggu dunia, Arab Saudi pernah membuat keputusan menutup dua masjid suci umat Islam, iaitu Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah daripada sebarang kemasukan jemaah termasuk bagi tujuan umrah.

Permohonan mengerjakan umrah perlu dibuat melalui dua aplikasi yang disediakan pihak berkuasa Arab Saudi. Imej: Handzalah Abdullah

Musim haji juga terpaksa diadakan dalam bilangan jemaah yang sangat terhad, manakala umrah buat rakyat tempatan dan mereka yang tinggal di Arab Saudi sahaja dibolehkan, dengan amalan SOP paling ketat.

Bagaimanapun, sejak Oktober lalu, Arab Saudi mula membuka pintu masuk antarabangsanya untuk jemaah umrah dari seluruh dunia, dengan masih mengekalkan SOP dan kelaziman baharu.

Jemaah dari Indonesia tiba di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz, Jeddah bulan lalu. Imej: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi

Antara negara Islam yang mula menghantar jemaah adalah Indonesia dan Pakistan. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply