PELAJAR TAHUN 5 MENANG ANUGERAH FILEM ANIMASI DI BRAZIL

KUCHING: Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Temong, Serian telah mengharumkan negara selepas karya filem pendek animasi, Batuh Bijanji menang dalam ‘Festival de Cinema Escola de Alvorada’ (FECEA), Brazil baru-baru ini.

Filem karya Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Zulfadhli, masing-masing 11 tahun, yang dibimbing dua guru sekolah itu merangkul anugerah ‘Best Film By Popular Jury’ dalam peringkat Sekolah Rendah.

Menurut guru, Mohd Reduan Patah, pembikinan filem pendek animasi itu mengambil masa 10 hari dengan menggunakan teknik rotoscoping iaitu teknik mengesan rakaman ditangkap untuk menghasilkan animasi secara visual yang seakan-akan realistik.

Menurut portal Utusan Borneo, filem animasi itu turut tercalon dalam kategori Animasi Terbaik bagi peringkat sama.

Batuh Bijanji membawa maksud ‘batu perjanjian dalam’ bahasa Bidayuh, yang menceritakan kisah persahabatan antara dua sahabat.

Menurut seorang lagi guru, Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi, penghasilan projek ini diselia di bawah Kelab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Sekolah Kebangsaan (SK) Temong, Serian, yang turut dipantau penolong kanan kokurikulum Stanley Ngawah dan diluluskan guru besar Cleveland Raden.

Majlis penganugerahan dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi ‘Google Meet’ pada 28 November lalu.—AlHijrah Online

Leave a Reply