AHLI PARLIMEN JALANI KUARANTIN PERLU KEBENARAN DG HISHAM UNTUK HADIR SIDANG

KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dikenakan Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selepas menjadi kontak rapat individu positif COVID-19 menjelang minggu terakhir sidang Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun yang mengesahkan perkara itu, bagaimanapun tidak dapat memperincikan jumlah ahli yang terlibat.    

“Saya dengar ada tetapi saya tidak tahu berapa ramai,”  katanya ketika dihubungi hari ini.

Susulan itu, Azhar berkata Ahli Parlimen berkenaan perlu mendapatkan kebenaran daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi pengundian Belanjawan 2021.

Tambahnya, jika kebenaran diberikan, Ahli Parlimen perlu mematuhi segala syarat yang akan dikenakan sebagai langkah pencegahan untuk tidak berjangkit kepada individu lain.

Peruntukan belanjawan yang berbaki lima lagi kementerian dijadual dibahas untuk kelulusan di peringkat jawatankuasa pada Isnin dan Selasa ini sebelum bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021. 

Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 29 hari bermula pada 2 November lepas dan akan berakhir pada Khamis ini, 17 Disember.—AlHijrah Online

Leave a Reply