KANAK-KANAK 8 TAHUN MATI LEMAS KETIKA MANDI SUNGAI

LANGKAWI: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui mati lemas ketika mandi bersama kembar dan rakannya di Sungai Kampung Kuala Temonyong, petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, ketika kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Muhammad Alif Amin Cik Di, 8 tahun, sedang mandi manda di sungai itu sebelum lemas.

Katanya, sebaik menerima laporan pihak polis telah menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.

Sebaik tiba di lokasi, mayat kanak-kanak itu telah berada di tebing sungai.

Jelas Mohd Iqbal, kejadian disedari oleh seorang pekerja yang membuat jalan berhampiran sungai itu dan bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa.

Namun mangsa sudah tidak sedarkan diri sebaik tiba di tebing sungai.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.—AlHijrah Online

Leave a Reply