Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

AS KRITIK ISRAEL ISYTIHAR UNRWA SEBAGAI KUMPULAN PENGGANAS

DUNIA

AS KRITIK ISRAEL ISYTIHAR UNRWA SEBAGAI KUMPULAN PENGGANAS

Isnin lalu, Parlimen Israel atau Knesset memberikan kelulusan awal kepada RUU yang menamakan UNRWA sebagai pertubuhan pengganas dan mencadangkan untuk memutuskan semua hubungan dengan agensi kemanusiaan itu.

Gambar fail (AFP)

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengkritik Israel yang mahu mengisytiharkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) sebagai pertubuhan pengganas.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, berkata tindakan Israel menggubal rang undang-undang (RUU) mengisytiharkan agensi itu sebagai pertubuhan pengganas adalah ‘sangat tidak membantu’.

“UNRWA bukan pertubuhan pengganas dan kami menggesa kerajaan Israel dan Knesset (Parlimen) untuk menghentikan tindakan undang-undang ini.

“Mereka (Israel) tidak melakukan apa-apa untuk memajukan usaha mendapatkan bantuan kemanusiaan kepada orang awam di Gaza,” katanya.

Isnin lalu, Parlimen Israel atau Knesset memberikan kelulusan awal kepada RUU yang menamakan UNRWA sebagai pertubuhan pengganas dan mencadangkan untuk memutuskan semua hubungan dengan agensi kemanusiaan itu.

Selepas bacaan pertama RUU itu diluluskan, perundangan itu akan dibawa ke jawatankuasa Parlimen untuk pertimbangan lanjut.

UNRWA, yang mempunyai lebih 30,000 pekerja bertugas untuk kira-kira 5.9 juta pelarian Palestin di rantau itu, dituduh oleh Israel menggaji ‘lebih 400 pengganas’ di Semenanjung Gaza.

AS menggantungkan sumbangan dananya kepada agensi itu selepas dakwaan berasingan Israel, yang tidak terbukti, menuduh beberapa kakitangan UNRWA terbabit dalam serangan Hamas pada 7 Oktober.

Sejak itu, penggubal undang-undang AS melarang Washington daripada mengeluarkan dana kepada agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Beberapa negara lain yang turut menarik balik pembiayaan untuk UNRWA sebelum ini, kini menyambung semula sumbangan mereka termasuk Britain, Perancis dan Kesatuan Eropah (EU). – AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading