IPOH: Seorang bapa dan bayi perempuannya berusia 11 bulan maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Klebang Restu di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata kemalangan kira-kira pukul 7.21 pagi itu menyebabkan lelaki berusia lingkungan 20 tahun yang memandu Proton Saga maut di lokasi kejadian manakala anaknya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada Proton Saga yang dipandu mangsa telah keluar simpang untuk melintas jalan sebelum dirempuh oleh sebuah kereta Mercedes Benz yang datang dari arah Sungai Siput menghala ke Ipoh.
“Kemalangan itu telah mengakibatkan Proton Saga tersebut terbabas sehingga merempuh sebuah lagi kereta iaitu Perodua Alza yang berada di susur kiri jalan dari arah Klebang Restu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Yahaya berkata bagaimanapun dua pemandu kenderaan yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik HRPB untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kemalangan tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Shahrul Rizwan Wan Ali, di talian 013-6218531 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.–AlHijrah Online