BARAH: ANJING PENGESAN “BLAKE” MILIK BOMBA TERPAKSA DITIDURKAN

PUTRAJAYA: Seekor Anjing Pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diberi nama Blake terpaksa ditidurkan susulan keadaan kesihatan yang merosot akibat barah limfoma yang dihidapinya.
JBPM dalam kenyataannya malam ini memaklumkan, Anjing Pengesan dari disiplin Cadaver itu telah didiagnosis menghidapi barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu.
Bagaimanapun, pada 14 September lalu, haiwan terlatih itu dimasukkan sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas didapati hilang selera makan dan kelesuan.
“Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi reaksi balas kepada ubat dan rawatan yang telah diberikan oleh pihak veterinar, malah barah limfoma yang dikesan pada anjing tersebut juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar.
“Pakar Veterinar, Dr. Nur Alimah Rahman dari Fakulti Veterinar, UPM, dan pihak JBPM bersetuju dengan keputusan untuk menidurkan Blake kerana kesihatannya yang merosot secara mendadak, tiada harapan dipulihkan serta mengelakkan anjing ini menderita dari kesakitan selain mengambil kira kebajikan anjing tersebut,” menurut kenyataan JBPM.
Blake telah banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara antaranya mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; operasi mencari dan menyelamat (SAR) kepala air di Titi Hayun dekat Yan, Kedah dan operasi mengesan mangsa tertimbus di Kampung Temelong, Karak di Pahang.
“Kehilangan Blake sudah pastinya dirasai oleh seluruh warga JBPM dan khidmat bakti yang telah disumbangkan sepanjang enam tahun berkhidmat akan sentiasa dihargai dan dikenang. Selamat jalan Blake,” kongsi JBPM sebagai mengakhiri kenyataannya kepada media.
Anjing Pengesan Blake yang berusia tujuh tahun itu merupakan anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada tahun 2017. –AlHijrah Online