BARU BERUSIA 12 TAHUN, WIEDAAD PESERTA TERMUDA MTHQK 2023

BUTTERWORTH: Seorang murid darjah 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Guchil, Kuala Krai, Kelantan menjadi peserta hafazan termuda dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Kebangsaan (MTHQK) 2023.
Wiedaad Izzaddiin, 12, mula menghafal al-Quran seawal usia 10 tahun seterusnya menjadi hafizah al-Quran setahun selepas itu.
Tambahnya dia mendalami bidang hafazan di Maahad Tahfiz Barniyah Puteri di Tanah Merah, Kelantan.
Kejayaannya memasuki pertandingan berprestij MTHQK bermula apabila didorong oleh guru-guru di sekolah untuk memasuki pertandingan hafazan di peringkat negeri Kelantan.
“Saya pun tidak sangka dinobatkan sebagai johan hafazan kategori wanita ketika itu dan seterusnya saya menjadi wakil negeri Kelantan untuk ke peringkat kebangsaan.
“Perasaan saya boleh dikatakan macam terbayang segala pengorbanan yang dilakukan selama ini, berhasil dan turut teruja dapat masuk peringkat kebangsaan pada umur yang sangat muda,” katanya selepas ditemu ramah oleh Berita AlHijrah.
Ujar anak sulung daripada lima adik beradik itu, dia tidak mengharapkan untuk menang sebaliknya mendapatkan pengalaman bersaing dengan peserta-peserta yang berbeza umur dengannya.
“Saya anggap ini semua hasil daripada sokongan ahli keluarga serta guru-guru saya serta doa-doa daripada mereka,” katanya.—AlHijrah Online