BARU JALANI PEMBEDAHAN, ANGGOTA POLIS BERSEMANGAT UNDI AWAL

Kamsun Syaib dibantu petugas SPR ketika mengundi. -fotoBERNAMA

JOHOR BAHRU: Meskipun baru lapan hari selesai menjalani pembedahan akibat komplikasi kencing manis, ia tidak melunturkan semangat seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di sini untuk menjalankan kewajipan mengundi awal hari ini. 

Hadir berkerusi roda seawal 7.30 pagi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Kamsun Syaib, 58, kelihatan bersemangat dengan berpakaian kemeja-T berlambangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya belum pernah lagi ketinggalan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi dan bersyukur masih berpeluang sekali lagi walaupun dalam keadaan kurang sihat.

“Saya rasa penting untuk setiap rakyat Malaysia untuk tidak memandang ringan kewajipan kita sebagai rakyat Malaysia yang menentukan masa depan negara,” katanya kepada Bernama.

Kamsun yang telah berkhidmat selama 34 tahun dalam PDRM berkata beliau sedih dengan sikap segelintir masyarakat terutama golongan muda yang memandang enteng tanggungjawab itu.

Beliau yang dibantu isteri dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menjadi antara anggota keselamatan terawal mengundi di sini.

Parlimen Johor Bahru menyaksikan penyandangnya Akmal Nasrullah Mohd Nasir daripada Pakatan Harapan berdepan tiga pencabar iaitu calon Barisan Nasional Johan Arifin Mohd Ropi, Mohd Mohtaj Yacob (Perikatan Nasional) dan Mohamad Akhiri Mahmood (Pejuang). —AlHijrah Online

Leave a Reply