PENGHUNI BANGLO BERDEPAN DETIK CEMAS TANAH RUNTUH

Sumber gambar : Bomba

KUALA LUMPUR: Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila banglo yang didiami mereka di Taman Halaman di sini, ditimpa tanah runtuh menyebabkan sebahagian dinding bahagian belakang rumah itu roboh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.30 pagi tadi dan mengerahkan jentera dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi kejadian.

Beliau berkata bomba mendapati kejadian tanah runtuh berlaku di bahagian belakang banglo lima tingkat itu dan terdapat tanah dan batuan dari cerun bukit menimpa serta merobohkan dinding bahagian dapur di tingkat satu dan bilik tidur di tingkat dua.

“Pasukan (kami) turut memeriksa semua tingkat dan bilik di rumah berkenaan bagi memastikan semua penghuni sudah keluar dengan selamat.

“Bomba kemudian membuat pemeriksaan pergerakan tanah dan memasang sawar-sawar di kawasan tanah runtuh,” katanya ketika dihubungi.

Norazam berkata tindakan lanjut diserahkan kepada Unit Cerun Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang turut berada di lokasi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menempatkan sebuah van polis bergerak di lokasi kejadian tanah runtuh bagi tujuan pemantauan, selepas mangsa dipindahkan ke rumah lain.

Menurutnya kejadian dipercayai berlaku apabila hujan berterusan menyebabkan air berlumpur mengalir sehingga ke hadapan rumah.

“Pemeriksaan serta tindakan awal dilakukan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat iaitu dengan meletakkan plastik kanvas bagi menutup kawasan tanah di lereng bukit yang terkesan.

“Semakan mendapati sembilan rumah dibina di lereng berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini. –AlHijrah Online

Leave a Reply