BAYARAN STR FASA 2 MULAI RABU INI

KUALA LUMPUR: Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima yang berdaftar secara berperingkat bermula Rabu 5 April 2023.

Dalam kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran tersebut pada tarikh yang sama.

Penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 5 April 2023.

“Pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 dan Fasa 4 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada bulan Julai dan November tahun ini dengan mengambil kira permohonan baharu atau kemas kini STR yang diterima semasa tempoh permohonan dan pengemaskinian.

“Semakan status pembayaran akan dibuka mulai 5 April 2023. Maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bayaran STR Fasa 2 diawalkan kepada awal bulan April 2023 bagi meringankan beban sara hidup rakyat menjelang Aidilfitri.

Sebagai rekod, sehingga 31 Mac 2023, sebanyak 714,918 permohonan baharu dan 2,618,104 permohonan kemas kini telah diterima dan akan melalui proses verifikasi sebelum diluluskan mengikut kategori kelayakan STR. –AlHijrah Online

Leave a Reply