POLIS TERENGGANU TERIMA LAPORAN PENIPUAN UMRAH BABIT KERUGIAN LEBIH RM200,000

KUALA TERENGGANU: Polis menerima lima laporan berkaitan kes penipuan pakej umrah dan haji oleh dua syarikat dengan jumlah kerugian RM214,315.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata empat laporan diterima semalam (Ahad) melibatkan sebuah syarikat di sini, manakala satu laporan diterima hari ini membabitkan sebuah agensi pelancongan, umrah dan haji di Alor Setar, Kedah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terhadap syarikat yang menawarkan pelbagai pakej menarik untuk mengaburi pelanggan.

“Tahun ini, setakat ini kita ada lima laporan kes penipuan melibatkan kerugian lebih RM200,000 berbanding hanya dua kes pada tahun lalu dengan jumlah kerugian RM120,000.

“Untuk kes hari ini, syarikat tersebut sebenarnya beribu pejabat di Alor Setar, tetapi laporan dibuat di Kuala Terengganu kerana mangsa dan transaksi wang dilakukan dari sini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Rohaimi berkata pihaknya menjangkakan lebih ramai mangsa akan membuat laporan polis dalam masa terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu seorang mangsa, Ahmad Kashfi Ab Rahman berkata beliau serta 14 ahli keluarga sepatutnya mengerjakan umrah pada 28 Februari lepas, tetapi ditunda kepada 3 Mac atas sebab-sebab tertentu.

Bagaimanapun, penjawat awam itu dimaklumkan oleh abangnya bahawa pihak syarikat telah membatalkan penerbangan tersebut dan akan memberi tarikh baharu untuk mereka sekeluarga berangkat ke tanah suci.

“Saya dan abang kemudiannya cuba menghubungi syarikat berkenaan melalui pelbagai cara tetapi tiada jawapan. 

“Kami nekad membuat laporan polis kerana merasa tertipu. Kami juga mendapat tahu bahawa syarikat ini memang bermasalah dan ada juga mangsa lain dari Terengganu yang turut terpedaya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis hari ini.

Ahmad Kashfi berharap pihak polis dapat mengambil tindakan lebih tegas dan memantau ketat syarikat umrah dan haji┬ábagi mengelakkan lebih ramai anggota masyarakat terperdaya.–AlHijrah Online

Leave a Reply