BAYI SETAHUN ANTARA MANGSA MAUT TANAH RUNTUH BATANG KALI

Sumber Gambar: JAPEN Selangor

KUALA LUMPUR: Bayi lelaki berusia setahun antara mangsa termuda yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada awal Jumaat lalu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyenaraikan tujuh nama mangsa kanak-kanak yang telah dikenal pasti identitinya.

Mangsa kanak-kanak yang terlibat merupakan Wong Zi Hang, 1; Daniel Khor Yen, 5; Ka Sin Ya Vanya, 6; Zech Loh Qi Yi, 7; Tong Kai En, 9; Ng Yee Tong, 11; dan Eng Huai Yi, 12.

Seramai 21 identiti mangsa telah dikenal pasti daripada 24 mangsa korban setakat jam 1 petang Ahad.

Proses pengesahan identiti menggunakan kombinasi tiga kaedah iaitu pengecaman DNA, cap jari dan pengecaman pihak waris pada wajah atau barangan peribadi serta tanda unik pada badan mangsa.

Identiti tiga lagi mangsa masih belum disahkan dan proses pengecaman melalui tiga kaedah tersebut masih dijalankan.

Sementara itu, daripada lapan mangsa cedera yang menerima rawatan di tiga hospital berbeza, tiga mangsa masih berada di wad, manakala lima lagi telah dibenarkan pulang.

–AlHijrah Online

Leave a Reply