BEKAS IMAM BESAR MASJID NEGARA DIANUGERAHKAN TOKOH MAAL HIJRAH 1443H

PUTRAJAYA: Bekas Imam Besar Masjid Negara serta Hakim Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad diumumkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1443 Hijrah atau 2021.

Ismail yang berasal dari Terengganu juga adalah Ahli Jawatankuasa Mentahsih Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pengerusi Jawatankuasa Teks Doa peringkat jabatan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pembaca doa dalam masjlis-majlis rasmi.

Beliau juga merupakan tokoh ikon Al-Quran yang sentiasa memberi sumbangan ke arah penghayatan, pengamalan dan pembudayaan disiplin ilmu Al-Quran demi kemajuan agama, ummah dan negara.

Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa tahun ini pula dianugerahkan kepada Setiausaha Agung Liga Dunia Islam yang juga Penasihat Majlis Diraja Arab Saudi, As-Syeikh Dr Muhammad Abdulkarim Al-Issa.

Pengumuman kedua-dua tokoh dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1443H di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, malam tadi yang turut dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemilihan kedua-dua tokoh dibuat berdasarkan sumbangan besar mereka memartabatkan syiar Islam pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Kedua-dua tokoh masing-masing menerima hadiah wang tunai, pingat dan sijil penghargaan.

Anugerah itu disampaikan oleh Muhyiddin kepada Ismail manakala Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussain Qattan mewakili Dr Muhammad. – AlHijrah Online

Leave a Reply