Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

BEKAS MUFTI PULAU PINANG, PRESIDEN KESATUAN ULAMA SEDUNIA DINOBAT TOKOH MAAL HIJRAH 1446H

DALAM NEGARA

BEKAS MUFTI PULAU PINANG, PRESIDEN KESATUAN ULAMA SEDUNIA DINOBAT TOKOH MAAL HIJRAH 1446H

Anugerah tersebut disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Sambutan Maal Hijrah 1446H/2024M yang bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan manakala Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Prof Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi diumumkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa bagi tahun 1446H/ 2024M.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah berserta wang tunai, trofi dan sijil penghargaan kepada dua tokoh berkenaan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M yang bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’ hari ini. 

Turut berangkat ke majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff. 

Pengiktirafan peringkat kebangsaaan kepada Hassan, 82, adalah yang kedua buat anak jati Kepala Batas, Pulau Pinang itu, selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1433H/2012M. 

Hassan yang menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang selama 17 tahun bermula 1997 disifatkan telah bertugas dengan cemerlang dalam menjaga hal ehwal agama negeri itu selain turut dilantik sebagai penasihat syariah kepada beberapa institusi kewangan termasuk Bank Negara Malaysia.

Lulusan Ijazah Sarjana Usul Al-Fiqh Fakulti Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir itu juga telah memberi sumbangan besar kepada bidang pendidikan antaranya sebagai Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Darul Hadis di Pulau Pinang dan Pensyarah Fakulti Syariah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya serta Dekan Fakulti Syariah dan Ahli Senat universiti sama.

Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1436H/2014M itu juga  banyak menyumbang dalam bidang penulisan, antaranya menghasilkan buku bertajuk Bai’al-Murabahah, Kepentingan Mencari Kekayaan Dalam Islam, Ruang Lingkup Ijtihad dan Kesesuaian Islam Untuk Semua Keadaan.

Sementara itu Ali Muhyiddin, 75, atau lebih dikenali sebagai Sheikh Ali Al-Qaradaghi merupakan tokoh terkemuka dalam bidang Ekonomi Islam, Perbankan Islam, Maqasid Syariah dan Pemikiran Islam dengan keilmuan beliau diiktiraf sebagai rujukan utama pelbagai institusi kewangan dan perbankan Islam. 

Berasal dari Qaradagh, Iraq, beliau banyak menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa antaranya dari Rusia, Turkiye, Kuwait, Sudan dan Jordan, selain turut dihormati kerana kecemerlangan dalam pelbagai cabang pendidikan Islam.

Ketokohannya terbukti bukan sahaja sebagai pakar perundangan malah telah menghasilkan lebih 100 kertas penyelidikan selain 59 buah buku meliputi pelbagai bidang.

Selain itu Sheikh Ali Al-Qaradaghi  juga menjawat pelbagai jawatan penting antaranya selaku Professor Asas Perundangan Islam di Universiti Qatar, Naib Presiden European Council for Fatwa and Research selain Ahli Jawatankuasa Penasihat Akademik Pusat Islam Universiti Oxford.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading