Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

BEKAS SETIAUSAHA KANAN MENTERI DITUDUH RASUAH

DALAM NEGARA

BEKAS SETIAUSAHA KANAN MENTERI DITUDUH RASUAH

SHAH ALAM: Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM100,000.

Lapor Bernama, mengikut tiga pertuduhan, tertuduh Mohd Saifullah Mohd Minggu, 29, didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM90,000 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada.

Wang tersebut sebagai upah untuknya yang berjanji mendapatkan tender Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan dan Kreatif untuk Kempen Pengiklanan Tourism Malaysia serta Perkhidmatan Pembelian Ruang Iklan bagi Pasaran Negara-Negara Asia Utara dan Asia Timur Tourism Malaysia untuk Inter Bev Network.

Bagi tuduhan keempat hingga keenam, Mohd Saifullah didakwa menerima dan meminta suapan bernilai RM16,500 daripada Ronald Seto, juga melalui Roslan, iaitu pembayaran deposit dan sewaan seunit rumah di Vipod Residences, No. 6, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (A)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Saifullah bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan tersebut dan mohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Rozilah Salleh.

Mahkamah kemudian membuat keputusan untuk memindahkan enam pertuduhan terbaharu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 September depan untuk dibicarakan sekali bersama 18 lagi pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Mohd Saifullah sebelum ini telah pun dihadapkan ke mahkamah atas 18 pertuduhan berhubung menerima dan meminta rasuah berjumlah lebih RM3.1 juta membabitkan projek perkhidmatan pengiklanan pelancongan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading