KERAJAAN TEKAD BANTU KELUARGA ‘MOWGLI MALAYSIA’

GAMBAR IHSAN SINAR HARIAN

IHSAN BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Keluarga Muhammad Syukur Khamis yang kematian 50 ekor kerbau peliharaan akan dibantu kerajaan mengikut kesesuaian dan keperluan semasa.

Lapor Bernama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata kematian haiwan yang dipercayai akibat penyakit hawar berdarah adalah satu perkara yang sangat serius dan perlu diberi perhatian segera bagi mengelakkan jangkitan ke kawasan ternakan yang lain.

“Keutamaan sekarang ialah memastikan kerbau ternakan keluarga ini tidak keluar dari kandang dan tidak bercampur dengan haiwan peliharaan penternak lain,” katanya.

Ahmad Amzad berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau kandang kerbau milik keluarga remaja yang terkenal dengan gelaran ‘Mowgli Malaysia’ itu di Kampung Kubang Bujuk di Kuala Terengganu hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana untuk meringankan urusan keluarga tersebut.

Dalam pada itu, bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 64 berkata keluarganya kini gigih berusaha untuk menyelamatkan baki kerbau yang masih ada.

“Kami sekeluarga berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan baki kerbau yang masih ada, terima kasih kepada semua yang mendoakan dan prihatin dengan kami,” katanya yang mengusahakan penternakan kerbau sejak 50 tahun lepas.

Muhammad Syukur mula terkenal apabila gambar-gambar yang menampilkan kemesraannya dengan lebih 100 ekor kerbau peliharaan keluarganya tular, selain gambar tersebut turut tersenarai sebagai antara 20 yang terbaik dunia. — AlHijrah Online.

Leave a Reply