COVID-19: BEKERJA DARI RUMAH 360 DARJAH RUTIN BERUBAH – NADZIRAH

Ini catatan khas penerbit berita TV AlHijrah yang sarat mengandung dan dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi membendung wabak COVID-19.

Oleh NADZIRAH SHARINGAT

Gelombang kedua Covid-19 di Malaysia awal Mac lalu menjadi episod hitam dalam sejarah negara bagi permulaan tahun 2020.

Tamparan hebat juga buat pimpinan kerajaan yang baru bertukar nakhodanya tidak sampai seminggu. Bagi umat Islam pula, hati tertanya – tanya apakah hikmah dan petunjuk yang Allah swt cuba kirimkan di sebalik musibah dan ujian berat ini.

Ketika pandemik itu menjadi mimpi ngeri kepada lebih 170 negara di dunia, Malaysia tiada pilihan selain terpaksa melakukan apa sahaja cara untuk melawan wabak itu.

Bermula dengan sekatan perjalanan dari wilayah yang teruk terjejas seperti Hubei, Zhejiang dan Jiangshu hinggalah menyekat kemasukan rakyat dari Itali, Iran dan Korea Selatan bermula 13 Mac lalu.

Ketika itu, Malaysia tersenarai sebagai negara ASEAN tertinggi yang menerima impak besar dari wabak itu.

Selang beberapa hari selepas itu, kerajaan pula mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sehingga 14 April ekoran trend peningkatan kes yang direkodkan dari hari ke hari.

Ia satu keputusan berat untuk diterima kerana seperti dijangka semua golongan akan terjejas.

Peniaga hilang pendapatan, pekerja tidak dibayar gaji, syarikat kerugian berdepan risiko gulung tikar dan mungkin meninggalkan kesan emosi dan psikologi yang buruk.

Sampai bila tempoh PKP ini akan dilanjutkan, ia amat bergantung kepada kerjasama dan kepatuhan kita semua rakyat Malaysia bagi memutuskan rantaian Covid-19, termasuklah mereka yang diarah untuk self-quarantine di rumah.

Sepanjang khidmat penulis di Alhijrah Media Corporation sejak sembilan tahun lalu, inilah kali pertama syarikat mengambil pendekatan meminimumkan kakitangan yang bertugas di pejabat bagi mengurangkan risiko penularan wabak berbahaya itu.

Memandangkan syarikat penyiaran dikategorikan sebagai ‘essential services’, ia wajib meneruskan operasinya namun dengan langkah berhati-hati.

Pihak pengurusan mencadangkan sebahagian kakitangan daripada jabatan tertentu dan individu–individu berisiko untuk melakukan tugasan di rumah atau ‘Work From Home’.

Sebarang perbincangan mahupun mesyuarat penting hanya dilakukan menerusi aplikasi whatsap atau video-conference.

Manakala yang terlibat dengan operasi dan sistem bertugas seperti biasa namun dengan jumlah yang sangat minimum.

Tindakan menghentikan seketika khidmat pelatih industri juga satu tindakan yang profesional memandangkan mereka masih di bawah tanggungjawab pihak kolej atau universiti.

Pelbagai langkah agresif dijalankan pihak syarikat bagi memastikan kakitangan tidak terkesan dengan Covid-19 antaranya pemeriksaan suhu sebelum memasuki premis dan peka dengan gerak geri kakitangan yang berisiko untuk dijangkiti atau pernah mempunyai kontak dengan kluster-kluster yang pernah disahkan positif.

Ia langkah difikirkan wajar sebelum syarikat menanggung akibat yang lebih buruk di masa akan datang.

Foto Nadzirah dan anak tunggal yang juga permata hatinya, Nur Tasneem Safiya Mohd Hafiz, 4.

Berbalik kepada inisiatif bekerja dari rumah, penulis antara salah seorang kakitangan yang tersenarai sebagai individu berisiko kerana sedang sarat hamil.

Individu lain yang dikategorikan sebagai berisiko ialah warga emas dan mereka yang mempunyai sejarah penyakit kronik.

Sebaik penulis menerima arahan untuk bekerja dari rumah dalam situasi cemas begini, timbul sedikit kelegaan kerana pihak jabatan memahami kegusaran penulis untuk melalui hari-hari dan persekitaran yang terdedah dengan wabak maut itu.

Pasti ramai menganggap bekerja dari rumah sesuatu yang menyeronokkan dan dianggap lebih santai, banyak berehat berbanding mereka yang bertugas di pejabat.

Namun pada hemat penulis yang juga salah seorang penerbit berita, ia satu tanggungjawab dan amanah yang besar kerana khidmat itu amat diperlukan bagi membantu rakan-rakan setugas yang lain, menjayakan siaran berita jam 8 malam setiap hari.

Walaupun tiada ketua jabatan atau bos yang memantau, tetapi perlu ingat, CCTV Allah sentiasa memerhati kerana kita diamanahkan untuk bekerja dari rumah.

Justeru, waktu jam bekerja juga perlu dipatuhi selain memastikan hasil kerja disampaikan dengan baik lebih–lebih lagi berperang dengan ‘deadline’ dan masa.

Tidak dapat dinafikan penulis amat terbuka menerima arahan dan tugasan dari rakan-rakan di pejabat kerana sekurang-kurangnya kita masih diberi kepercayaan untuk menyumbang sesuatu kepada operasi syarikat.

Secara jujurnya, bukan mudah menyesuaikan diri dengan suasana bekerja di rumah kerana suasana dan persekitaran yang jauh berbeza.

Ia satu cabaran yang besar untuk mengawal emosi serta rutin harian yang bertukar hampir 360 darjah.

Bagi menghadapi situasi yang akan berlanjutan hampir sebulan, cara berfikir atau mindset yang bekerja dari rumah perlu bergerak seiring.

Perkara paling penting ialah work station yang selesa dan bersih supaya konsentrasi kita tidak terganggu, kekalkan waktu bekerja kita di rumah dan pejabat, lakukan tugasan harian kita seperti biasa tanpa culas dan siapkan mengikut deadline.

Jika perhatian kita terganggu dengan hal-hal di rumah, uruskan terlebih dahulu dengan pengurusan masa yang efisyen dan jauh lebih baik jika pakaian kita, sama seperti di pejabat.

Menceritakan kembali pengalaman penulis di bilik berita, pastinya sudah terbiasa dengan suasana sibuk dan “jeritan maut” untuk mengejar masa dan berita terkini, tetapi di rumah pula ada anak yang meminta perhatian selain tugas-tugas rumahtangga lain yang perlu digalas serentak.

Namun, itulah pengorbanan yang perlu dibayar, antara amanah dan tanggungjawab. Dan paling utama, perlu bijak urus emosi dan situasi.

Bila direnung kembali, lebih besar pengorbanan rakan-rakan di pejabat, barisan petugas hadapan yang berdepan risiko wabak yang kita tahu di mana keberadaannya.

Dari sudut lain, jangan ada pula yang mengambil kesempatan bekerja dari rumah dengan tidak melaksanakan arahan yang diberikan, malah culas dengan amanah dan tanggungjawab.

Ia satu permulaan budaya yang tidak sihat. Jika ia berlaku, tidak adil bagi rakan-rakan yang berada di barisan hadapan, malah bersengkang mata, untuk memastikan syarikat beroperasi seperti biasa, tak kira bidang manapun kita berkhidmat.

Tidak kiralah bekerja dari rumah atau di pejabat, jika kita jujur dan amanah dengan tugas ia pasti akan dikira sebagai amal ibadah di sisi Allah swt.

Sekecil manapun hasil kerja anda yang digalas hanya dari rumah, ia tetap sumbangan besar kepada syarikat selain meringankan beban rakan-rakan lain.

Dalam masa sama, kita ini secara tidak langsung melaksanakan tanggungjawab terhadap negara dengan mengikut seruan ‘stay at home’ untuk memutuskan rantaian Covid-19. — AlHijrah Online

Penulis adalah Pemangku Penerbit Berita & Wartawan Kanan AlHijrah Media Corporation.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply