BELASUNGKAWA SALAHUDDIN: KINI DIA TINGGALKAN DAN TIDAK BALIK BUAT SELAMANYA – ISTERI

PONTIAN: “Dahulu, suami (Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub) pergi keluar tinggalkan saya untuk program, dia pulang ke rumah. Sekarang, dia tinggalkan saya, dia sudah tidak balik lagi.”
Demikian luahan balu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datin Seri Fatimah Taha yang terpaksa menerima takdir bahawa suaminya telah pergi buat selamanya.
Bagaimanapun, Fatimah berkesempatan untuk berada di sisi suaminya sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya, malam tadi.
“Kebetulan saya ada dengan suami semasa program, dia tidak keseorangan, kalau saya tiada di sisinya, bayangkan dia seorang diri ‘survive’ sewaktu kejadian,” katanya semasa ditemui di perkarangan rumahnya di TL7, Jalan Adil, Serkat, di sini.
Allahyarham Salahuddin berusia 61 tahun telah meninggalkan seorang balu bersama enam orang anak.
Fatimah berkata, kesihatan beliau sebelum ini dalam keadaan baik tanpa sebarang penyakit dihidapinya.
Namun, mungkin faktor penat membuatkan Allahyarham mengalami pendarahan dalam kepala, katanya.
Terdahulu, Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.—AlHijrah Online