Bersiap sedia hadapi kemungkinan banjir

BERA: Penduduk di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dinasihati supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir berikutan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung hujan berterusan di kawasan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak mahu kejadian banjir seperti di Selangor berulang apabila kebanyakan penduduk tidak bersedia menghadapi bencana itu sehingga mengakibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.

“Kita tidak mahu jadi seperti Selangor kerana banjir bukan perkara biasa di negeri itu. Jadi apabila pihak berkuasa mengeluarkan amaran, mereka mungkin tidak menjangka air naik dengan cepat dan enggan berpindah.

“Akhirnya ramai terperangkap dan ramai terpaksa berpindah serta merta tanpa sempat menyelamatkan harta benda serta dokumen pengenalan diri,” kata beliau ketika ditemui media ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Buntar, hari ini.

Dalam lawatan itu. Ismail Sabri sempat menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS itu sebelum ke beberapa PPS yang berhampiran di kawasan itu.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut mengingatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan supaya turut bersedia dari segi PPS, bantuan barangan, keperluan aset selain memastikan sistem perparitan dan saliran diselenggara dengan baik.

Sebelum ini, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan di negeri-negeri di utara Semenanjung hari ini.

Menurut jabatan itu, amaran tahap waspada itu melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Perak iaitu Kerian dan Larut, Matang serta Selama. –Alhijrah Online

Leave a Reply