BUKAN SATIRA RAYA
Sedang Pak Pandir keliling kampung, awan berubah kelabu, dikayuhnya basikal sekuat laju, bila tiba di pagar rumah terpelanting dia melatah tak berfikir.
“Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan…”
Habislah sudah simpanan air, mak andih bebel sampai ke senja.
“Awak juga berkecundangan..”
Jadilah seloka kisah sekampung, riwayat turun zaman – berzaman.
MEMAHAMI PERSEPSI GENERASI
Masyarakat akan hidup dengan kebanggaan mereka melalui kisah teladan orang tua dan itulah yang diperturunkan sehingga generasi muda hari ini, namun saya kurang pasti kalau-kalau anak generasi sekarang sudah melupakannya atau terlupa sebentar.
“ Dah besar awak..belum ada bunga menanti, ke kumbang memilih bunga..?”
“ Bila nak kahwin, umur dah lanjut risau tak laku?”
Dalam senyum tua, ada yang masih bertanyakan secara sopan, terkadang satira namun sering berterus terang dan inilah yang masih diamalkan dalam masyarakat kita untuk bertanya khabar apabila saudara dan taulan berkumpul dalam keramaian, khususnya bila tiba Aidilfitri.
Jika dahulu, apabila yang tua bertanya mengenai perkara peribadi, anak muda ketika itu tidak banyak berbicara melainkan memberi ruang yang lebih dimuliakan ibu atau bapa yang menjawabkan bagi pihak, namun hari ini keterbatasan itu semakin jarang dan atas pendirian yang lebih berani, jawapan yang diberikan lebih terbuka dan terkadang terkurang manisnya.
Ini persepsi generasi, apabila sudah terbentuk melalui pertentangan atau konflik yang cepat. Jelas, perubahan sosial masyarakat dan anak-anak Melayu pasca merdeka menuju pendidikan persepsi luar yang lebih terbuka dan implikasinya terlihat jelas melalui generasi dekad baru hari ini.
Isunya kali ini bukan untuk membahaskan siapa yang betul ataupun salah dalam memahami situasi ini, namun ia berkait rapat dengan pendirian yang bercakap dan menerima apakah mereka mereka bersedia menerima perubahan persepsi dan penukaran sikap yang pantas dalam masyarakat Melayu hari ini.
Adanya arus teknologi hubungan yang ada, siapa kita mengekalkan pola tradisi?
USAH RUGIKAN MASA
Mengapa kita perlu risaukan debat persepsi baru dan tradisi ini sedangkan Islam sudah memberikan kita jalan dalam komunikasi yang lebih mudah, kita punya asas yang cukup cantik dengan kefahaman akhlak yang betul.
‘Dan hendaklah kamu berkata kepada manusia itu dengan kata-kata yang baik (dengan kata-kata yang lembut dan tidak menyakitkan hati.’ (Surah al-Baqarah : 83)
Panduan dari Ayat Allah S.W.T ini cukup jelas kita fahami dan menjadikan ia asas dalam hubungan sesama manusia melalui pertuturan kita. Apa yang harus kita selami adalah bagaimana lembutnya kaedah komunikasi cara Melayu lama yang penuh dengan tapisan dan adab.
Memang banyak perkara yang harus kita fahami dari cara orang tua berbahasa, dengan menurut lenggok bahasa yang luhur, kita akan fahami sedikit demi sedikit. Tanpa memenangkan sesiapa, kita harus kembali kepada niat dan cara yang ingin kita sampaikan dalam komunikasi kita.
‘Sesiapa yang menunjukkan kepada hal yang lebih baik maka bagaikan orang yang melakukannya dan sesiapa yang menunjukkan kepada yang lebih jahat maka ia bagaikan orang yang melakukannya.’ (Riwayat at-Tirmidzi)
Sehingga hari ini kita tidak pernah pasti yang unsur gaya satira, melayu lama dalam pertuturan kehidupan masyarakat yang membangun kehadapan menuju tahun-tahun wawasan masih kekal ataupun mula menerima perubahan dan terus melupakannya.
Terlalu berterus – terang akan membuatkan kita merindui nostalgia ‘bahasa-bahasa istimewa’ yang menjadi nadi keunikan masyarakat Melayu, kita jarang sedari bahawa kaedah bahasa kita penuh dengan hikmah dan budi, bukan satira semata-mata.
Biarlah orang berseloka kisah Pak Pandir. Sekurang-kurangnya kita masih punya teladan. Bukankah memahami satira, tanda orang yang bijak?
Saya teringat kata hikmah Pendeta Zaaba:
“Jika hendak kenal orang berbangsa, lihatlah kepada budi dan bahasanya.”
Ada tiga minggu lagi kita meraikan Aidilfitri menurut fahaman bangsa kita, usah rugikannya dengan mimik muka yang basi dan masam. Hulurkan salam terbuka, hayati masa-masa indah ini dengan kegembiraan dan kemenangan.
Minal Aidil Wal Faizin.
Mohd Lutfi Hafifi Japili, Penerbit Dokumentari, TV AlHijrah