BURUKKAN IMEJ MALAYSIA, PAS WARGA ASING BOLEH DIBATALKAN

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Warga asing yang memiliki dokumen yang sah namun mengeluarkan kenyataan yang boleh memburukkan imej Malaysia berdepan risiko pembatalan pas.

Memetik laporan Bernama, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairil Dzaimee Daud, mengingatkan pemegang pas jangka panjang seperti pas pengajian, lawatan kerja sementara dan pas residen supaya berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Mereka berdepan risiko pembatalan pas dan akan diminta meninggalkan negara ini serta-merta, jika kenyataan berkenaan tidak tepat dan bertujuan memburuk-burukkan imej Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang diterbitkan oleh agensi berita antarabangsa Al Jazeera.

Kharul Dzaimee menolak dakwaan agensi berita terbabit yang menyifatkan operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai rasis dan tidak berperikemanusiaan.

“Operasi Imigresen di sekitar Jalan Masjid India, di sini, pada 1 Mei lalu memeriksa seramai 3,352 warga asing, namun jumlah ditahan untuk siasatan lanjut hanya 586 orang.

“Kerajaan Malaysia juga memberi rawatan secara percuma kepada 773 warga asing yang didapati positif COVID-19 di Depot Tahanan Imigresen (DTI) dan terdapat kedutaan asing yang memuji tindakan ini serta mengucapkan terima kasih,” katanya.

Al Jazeera baru-baru ini menerbitlan dokumentari berdurasi kira-kira 26 minit yang menuduh Malaysia mengamalkan perkauman dalam menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ketika penularan COVID-19 — AlHijrah Online

Leave a Reply