IJEC BANTU JOHOR TANGANI MASALAH EKONOMI

JOHOR BAHRU: Johor menjadi negeri pertama yang berjaya mewujudkan majlis ekonominya sendiri bagi menangani masalah pendapatan di negeri selatan tanah air itu.

Majlis ekonomi yang digelar Ibrahim Johor Economic Council (IJEC) itu menggunakan tema, ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ dibarisi ahli-ahli berwibawa antaranya Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, bekas Ketua Setiausaha Negara yang juga Timbalan Pengerusi JCorp Datuk Dr Ali Hamsa, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani, dan Pegawai Kewangan Johor, Datuk A. Rahim Nin.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata majlis ekonomi yang telah bermesyuarat itu sudah menerima cadangan dan syor yang bernas serta bermanfaat untuk kemajuan Johor dan rakyatnya.

“Alhamdulillah, cadangan dan syor yang telah diberikan mereka amatlah bernas dan bermanfaat. Contohnya kerajaan Johor harus memberi fokus kepada beberapa sektor dan industri yang telah lama menjadi tulang belakang negeri seperti sektor pendidikan, kesihatan, logistik, minyak dan gas serta lain-lain.

“Insyaallah, beberapa inisiatif akan diumumkan nanti, selebihnya pada Bajet 2021 kelak,” kata Hasni dalam catatan di Facebook rasminya hari ini.

Hasni turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada individu yang menjadi ahli IJEC dan menegaskan kerajaan negeri harus mengemudi keadaan ekonomi sekarang dengan panduan dan hikmah mereka.

Antara ahli-ahli IJEC lain yang dilantik ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp , Datuk Syed Mohammad Syed Ibrahim, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Md Ariff Mahmood, Ketua Eksekutif Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Selain itu mereka yang dilantik ialah Pengerusi Ecoworld Development Group Berhad Tan Sri Liew Kee Sin, Pengerusi Malaysia Institute Of Economic Research (MIER), Tan Sri Kamal Salih, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed, Pengarah Bait Al Amanah, Dr Abdul Razak Ahmad, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan) Datuk Dr Badrul Hisham Kassim. — AlHijrah Online

Leave a Reply