CABARAN MISI KEMANUSIAAN GEMPA TURKIYE-SYRIA

ISTANBUL: Perjalanan darat yang panjang kira-kira 16 jam dengan jarak lebih 1,000 kilometer dari Istanbul ke lokasi gempa bumi di Gaziantep, serta cuaca sejuk dijangka akan menjadi cabaran utama Misi Kemanusiaan Gempa Turkiye-Syria digerakkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Ketua misi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Sani Araby Al-Kahery berkata cabaran itu telah diduga sejak awal namun beliau yakin misi yang digerakkan akan berjalan lancar.

Ujarnya misi bantuan ini turut disokong Agensi Wakaf Kerajaan Turkiye (TDV) bagi memastikan misi berjalan lancar dan segera tiba kepada puluhan ribu mangsa yang terkesan.

“Sebaik tiba di Istanbul kita terus bergerak ke Gaziantep melalui jalan darat selepas mendengar pandangan dari rakan MAPIM di sini.

“Pastinya semua persediaan dibuat bagi menghadapi cuaca sejuk yang telah berada pada paras sifar celcius, laluan kita akan tempuh nanti bersalji. Kita jangka akan tiba di kawasan bencana selepas 16 jam,” katanya kepada Berita AlHijrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul.

Kumpulan Misi Kemanusiaan Gempa Turkiye-Syria MAPIM yang turut disertai wartawan Berita AlHijrah selamat tiba di Istanbul petang semalam.

Misi berkenaan bagi menyalurkan bantuan awal seperti selimut musim sejuk, kotak bantuan, pek makanan panas, dan khemah kepada mangsa terjejas mengikut keperluan semasa.

Sejumlah RM1 juta diperuntukkan MAPIM untuk misi kali ini dan Dr Sani memaklumkan sejumlah RM4 juta disasarkan untuk membantu mangsa-mangsa gempa di Turkiye dan Syria.

Bagi anda yang ingin turut serta dalam Misi Bantuan Kecemasan Gempa Turkiye – Syria, boleh terus menyalurkan sumbangan menerusi Tabung Kemanusiaan MAPIM di Akaun Maybank: 5622 6354 0066. — AlHijrah Online

Leave a Reply