CEMAR AL-QURAN ADALAH KESALAHAN JENAYAH DI RUSIA – VLADIMIR PUTIN

Sumber Gambar: AFP

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin menegaskan sebarang tindakan mencemarkan kitab suci al-Quran termasuk merosakkan atau membakar kitab itu, merupakan kesalahan jenayah di Rusia.

Memetik laporan Arab News, Putin berkata, walaupun tindakan tersebut tidak dianggap sebagai jenayah di beberapa negara, namun ia merupakan kesalahan besar dan boleh dihukum di bawah undang-undang republik itu. 

Pemimpin kuasa besar itu turut menegaskan bahawa negaranya sentiasa menghormati kesucian al-Quran.

“Di Russia, tindakan mencemar al-Quran dianggap sebagai jenayah berdasarkan Perlembagaan dan kanun keseksaan.

“Al-Quran suci buat umat Islam dan seharusnya dihormati oleh semua orang. Kami sentiasa mematuhi peraturan ini,” katanya semasa melawat masjid bersejarah Derbent di Republik Dagestan.

Dalam lawatan itu, Putin telah bertemu dengan beberapa wakil komuniti Islam di Dagestan selain menerima senaskhah kitab suci al-Quran.

Putin membuat kenyataan sedemikian susulan tindakan seorang lelaki yang membakar al-Quran di luar sebuah masjid di ibu negara Sweden.

Perbuatan biadap yang dilakukan Salwan Momika, 37, di luar masjid di Stockholm ketika sambutan Hari Raya Aidiladha, mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Salwan Momika kini berdepan tuduhan dengan niat mencetuskan ‘provokasi terhadap kumpulan etnik’.–AlHijrah Online

Leave a Reply