SEMUA AKTIVITI AGAMA DI MASJID DAN SURAU DITANGGUHKAN, JENAZAH TAYAMMUM – ZULKIFLI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Semua aktiviti di masjid dan surau, termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah, ditangguhkan bermula esok hingga 26 Mac bagi membendung penularan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) di Putrajaya semalam selepas menerima taklimat Kementerian Kesihatan.

Zulkifli berkata keputusan itu mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Jawatankuasa masjid dan surau juga disaran membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan mengelakkan jangkitan.

“Tempoh sepuluh hari itu tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata menteri hal ehwal agama itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkifli berkata jika berlaku kematian akibat COVID-19, pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-107 yang bersidang pada 10 dan 11 Februari 2015 mengenai hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola di Malaysia.

“Kelonggaran diberikan sekiranya ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah.

“Jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut,” katanya.

Beliau berkata muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri bagi pelaksanaan keputusan terbabit. — AlHijrah Online

Leave a Reply