Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

CULIK WARGA PALESTIN: POLIS SIASAT JIKA ADA PENGLIBATAN AGENSI PERISIKAN LUAR

DALAM NEGARA

CULIK WARGA PALESTIN: POLIS SIASAT JIKA ADA PENGLIBATAN AGENSI PERISIKAN LUAR

Polis sedang menyiasat sekiranya wujud penglibatan agensi perisikan luar berhubung kes penculikan warga Palestin.

Gambar Fail. Sumber BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat sekiranya wujud penglibatan agensi perisikan luar berhubung kes penculikan warga Palestin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya juga belum dapat mengesahkan penglibatan agensi luar dalam kes penculikan itu seperti yang didakwa sebuah akhbar tempatan semalam.

“Saya tidak boleh beritahu sama ada Mossad terlibat atau tidak kerana siasatan masih berterusan dan polis juga tidak pasti dari mana akhbar berkenaan memperoleh sumber sedemikian.

“Laporan akhbar berkenaan telah menimbulkan spekulasi dan mengganggu siasatan polis berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Rapid KL Safety Point di Stesen MRT Kampung Batu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang melaporkan agensi perisikan Israel, Mossad merupakan dalang yang mengupah warga tempatan untuk menculik seorang warga Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy Raeda.

Azmi berkata polis akan memanggil wakil dari akhbar berkenaan untuk diambil keterangan pada hari ini bagi membantu siasatan.

“Saya berharap rakan media memberi kerjasama dalam menyampaikan maklumat. Jika sesuatu perkara itu boleh diberitahu, saya pasti akan maklumkan pada semua,” katanya.

Semalam, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri sedang membuat penelitian berhubung dakwaan penglibatan ejen perisikan Israel, Mossad dalam insiden penculikan seorang warga Palestin.

Pada 5 Okt lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

Pada Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading