Dakwaan berlaku timbunan kes rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Sabah tidak benar

Keratan laporan portal The Malaysian Insight berkenaan berlakunya timbunan kes rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Sabah semalam.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlakunya timbunan kes-kes rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Sabah akibat ketiadaan Ketua Hakim Syarie Negeri, seperti yang dilaporkan portal The Malaysian Insight semalam.

“Adalah tidak benar sama sekali dakwaan bahawa pada masa ini Mahkamah rayuan Syariah Sabah sedang bergelut dengan timbunan kes atas ketiadaan Ketua Hakim Syarie Negeri’’, tegas Ketua Pendaftar Jabatan dalam kenyataannya kepada media.

Menurut beliau, sehingga kini terdapat hanya enam kes rayuan yang telah sedia ada untuk dijadualkan di hadapan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri yang baru sahaja selesai di peringkat pengurusan kes, manakala hanya satu kes rayuan yang masih dalam prosiding.

‘’Hakim-Hakim Rayuan Mahkamah Rayuan Syariah Sabah telah pun dilantik oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah dan tempoh pelantikan mereka masih berkuat kuasa’’, katanya.

Dengan itu penjadualan kes rayuan masih boleh dibuat kerana bilangan Hakim-Hakim Rayuan yang mempunyai tauliah pelantikan adalah mencukupi korum.

“Begitu juga dengan pelantikan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebagai Pengerusi Sidang Mahkamah Rayuan Syariah Negeri menurut kehendak Seksyen 19(3) Enakmen Mahkamah Syariah Sabah 2004 adalah juga masih berkuatkuasa,” jelasnya.

Terdahulu The Malaysian Insight mendakwa Mahkamah Syariah Sabah bergelut dengan timbunan kes rayuan kerana tiada Ketua Hakim Syariah lebih tiga bulan.

Leave a Reply