DAKWAAN JEMAAH UMRAH TIDAK PERLU DOS PENGGALAK COVID-19 PALSU – IDRIS AHMAD

KUALA LUMPUR: Dakwaan tular menyatakan kerajaan Arab Saudi memansuhkan syarat pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19 untuk menunaikan ibadah umrah adalah palsu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad menyelar dakwaan tersebut setelah mendapatkan pengesahan daripada wakil konsul Haji Tabung Haji (TH) di Jeddah, Arab Saudi.
“Tersebar sebuah portal yang memberitakan berkenaan Kerajaan Arab Saudi akan memansuhkan syarat pengambilan vaksin penggalak untuk memasuki negara tersebut untuk menunaikan umrah.
“Saya telah mendapatkan pengesahan wakil Konsul Haji TH di Jeddah bahawa berita daripada protal tersebut tidak benar dan pengambilan dos penggalak adalah diwajibkan kepada jemaah yang bakal menunaikan umrah berkuatkuasa 14 Februari 2022 seperti yang telah diumumkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya berharap semua rakyat Malaysia meneliti setiap berita yang sampai kepada kita untuk disemak kebenarannya, apatah lagi ianya melibatkan perlaksanaan ibadah yang mulia iaitu ibadah umrah,” kata Idris menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Sebelum ini tular di media sosial tangkap layar dakwaan satu portal memaklumkan bahawa kerajaan Arab Saudi memansuhkan syarat wajib pengambilan vaksin COVID-19 bagi jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah.–AlHijrah Online