DAKWAAN PM EJEN ISRAEL: ABDUL HADI SEDIA DIPANGGIL BUKIT AMAN

ROMPIN: Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bersedia untuk dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman berkenaan dakwaan mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.
Abdul Hadi turut menjelaskan bahawa tiada ucapan sedemikian dibuat ketika beliau berceramah.
“Saya tidak kata, dia (pihak yang mendakwa Abdul Hadi menuduh Anwar) yang kata, serah kepada dia. Bukit Aman tahu saya tidak kata.
“Ceramah saya dirakam, kenyataan media (akhbar) saya Bukit Aman baca. Saya kata ke tidak kata itu terpulang. Saya bukan sekali dua dipanggil Bukit Aman,” katanya selepas diminta mengulas isu dakwaan Anwar sebagai ejen Israel.
Dalam pada itu Abdul Hadi Awang turut terbuka untuk disiasat oleh pihak polis jika dakwaan tersebut benar dilakukan oleh beliau.
“Saya boleh pergi ke Bukit Aman, tiada masalah. Saya terbuka untuk siasatan. Tapi sekarang ini tiada panggilan daripada Bukit Aman,” katanya.
Semalam Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Putrajaya Mohamad Syazreen Ezam Mohd Saidi membuat laporan polis di IPD Putrajaya berkenaan fitnah terhadap Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesahkan menerima laporan berkenaan yang mengaitkannya dengan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad.
Kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan fitnah).–AlHijrah Online