DAKWAAN RAKYAT MALAYSIA DITAHAN ISRAEL, WISMA PUTRA MINTA KETERANGAN DUA SELEBRITI

KUALA LUMPUR: Wisma Putra meminta dua individu tampil mengemukakan maklumat berhubung dakwaan seorang warganegara Malaysia yang ditahan pihak Israel.

Dalam kenyataanya, individu-individu serta pemilik akaun Instagram @iesya_toh dan @nurhelizahelmi digesa untuk tampil memberi maklumat selepas Kementerian Luar Negeri tidak dapat menghubungi dua orang individu yang didakwa berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, yang dipercayai menghubungi dua selebriti terbabit untuk memaklumkan perkara itu.

Wisma Putra turut mengambil maklum sebuah perkongsian tular di media sosial berhubung dakwaan penahanan pihak Israel terhadap seorang rakyat Malaysia yang hanya dikenali sebagai ‘Dr Nur’.

Bagaimanapun, pihak Kementerian Luar Negeri tidak dapat mengenal pasti butiran peribadi serta perincian insiden tentang perkara tersebut, sekali gus menyulitkan usaha Perwakilan Malaysia menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular sewajarnya kepada ‘Dr Nur’.

“Semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati tiada individu bernama ‘Dr Nur’ yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan.

“Wisma Putra sudah berhubung dengan pihak berkuasa di Malaysia untuk membantu mengenal pasti identiti dan keberadaan ‘Dr Nur’ sementara mengumpul maklumat berkenaan laporan dikemukakan, termasuk tangkap skrin posting (screenshot) dibuat orang awam berhubung insiden menimpa ‘Dr Nur’,” katanya.

Mengulas lanjut, perkara tersebut telah dipanjangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi siasatan lanjut.

Mana-mana individu lain yang mempunyai maklumat sahih berhubung identiti serta keberadaan ‘Dr Nur’ turut digesa tampil dan mengemukakan maklumat terbabit melalui e-mel bkrm@kln.gov.my.–AlHijrah Online

Leave a Reply