ISRAEL TIDAK PUAS HATI DIKATA AMALKAN ‘APARTHEID’

Sumber Gambar: AFP

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak senang duduk selepas Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian menyatakan bahawa amalan ‘apartheid’ mungkin berterusan di negara itu.

Netanyahu menyelar kenyataan tersebut dengan menyifatkan Le Drian melampau di samping menyatakan protes terhadap kerajaan Perancis.

“Menteri terbabit mendakwa Israel bakal menjadi negara apartheid, ini adalah dakwaan yang tidak benar dan tanpa sebarang asas.

“Kami tidak boleh menerima kenyataan yang hipokrit dan palsu sebegini,” katanya menerusi sebuah video yang dikeluarkan pejabatnya.

Sebelum ini, Le Drian menyatakan risiko berlakunya ‘apartheid’ amat tinggi; tanpa negara Palestin yang bebas di samping Israel.

“Jika kita mempunyai penyelesaian lain berbanding penyelesaian dua negara, kita akan memiliki ramuan (dasar) ‘apartheid’ jangka panjang,” katanya.

Beliau mengulas mengenai peperangan antara Israel dan Palestin termasuk konflik terbaru di Gaza.

Sementara itu, Israel turut menafikan kenyataan yang dikeluarkan kumpulan pemerhati hak asasi manusia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Human Rights Watch dan B’Tselem di Israel, bahawa negara tersebut mengamalkan sistem ‘apartheid’.

Angka korban penduduk Palestin berjumlah 254 orang termasuk 66 kanak-kanak selain mencederakan lebih 1,900 orang sejak serangan udara Israel dilancarkan sejak 10 Mei lalu.—AlHijrah Online / AFP

Leave a Reply