Dakwaan wang kertas mengandungi lemak babi perlu bukti kukuh

Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri semasa sidang akhbar selepas perasmian Konvensyen Rahmah Perak Darul Ridzuan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di Ipoh hari ini.

KUALA LUMPUR – Pihak berkaitan digesa membuat semakan makmal dan mengemukakan bukti atas dakwaan penggunaan lemak babi dalam proses menghasilkan wang kertas negara agar tidak menimbulkan kekeliruan dan kegusaran orang ramai.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pihaknya tidak akan mengesahkan sebarang dakwaan terhadap isu tersebut selagi kajian terperinci berkaitan kebenaran dakwaan itu belum dilakukan.

“Saya tak kata apa-apa lagi, mesti datangkan bukti, mesti datangkan dalil, mesti disahkan oleh badan yang berautoriti untuk mengenal pasti, maka cara itulah kita mencermati dan kita seboleh-bolehnya elakkan sebarang bentuk kenyataan-kenyataan yang kadang-kadang yang boleh mengeruhkan lagi isu ini,” katanya dalam sidang media pada program Konvensyen Rahmah Perak Darul Ridzuan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim), Ipoh, pagi tadi.

Tambahnya, beliau yakin kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya jika dakwaan itu disahkan benar.

Semalam, seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. Zhari Ismail mendakwa wang kertas negara dipercayai mengandungi lemak babi dan perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pihak yang terlibat dalam penghasilan wang berkenaan.

Menerusi laporan dalam portal berita itu, Dr. Zhari memberitahu yang pihaknya telah memaklumkan mengenai perkara tersebut kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tindakan lanjut dan kini sedang menjalankan kajian.

Leave a Reply