DAPUR IT’AM DILAKSANAKAN SEPANJANG PKPB

KUALA LUMPUR: Program agihan makanan Dapur It’am akan dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, inisiatif yang digerakkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mula diedarkan kepada kelompok sasar di Wilayah Persekutuan sepanjang PKPB dan disambung hingga Disember.

Jelas Zulkifli agihan makanan menerusi Dapur It’am akan dibuat melalui 24 buah masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan.

“Saya dan Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri) sentiasa berusaha utk memastikan sifar lapar sepanjang PKPB di Wilayah Persekutan, begitu juga dalam bulan seterusnya sehingga Disember. Agihan untuk 300 penerima dibuat secara mingguan melalui masjid di zon masing-masing.

“Semoga dengan adanya program ini dapat membantu pihak-pihak yang memerlukan sepanjang PKPB dan berlangsung sehingga Disember,” katanya menerusi ciapan di Twitter rasminya.

Tambah Zulkifli golongan sasar yang terlibat terdiri daripada anak kariah kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), Projek Perumahan Awam (PPA), pelajar-pelajar sekolah yang telah dikenal pasti termasuk kategori asnaf.

Selain itu sumbangan turut disalurkan kepada pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta serta kejiranan bukan Islam.

Zulkifli juga berharap usaha seperti ini dapat dikembangkan oleh pihak berkuasa agama negeri lain untuk manfaat rakyat. — AlHIjrah Online

Leave a Reply