DOKUMEN INISIATIF LELAKI QAWWAM DILANCAR, PERKASA KEPIMPINAN GOLONGAN LELAKI

PUTRAJAYA: Dokumen Inisiatif Lelaki Qawwam (ILQ) dilancarkan hari ini bagi memperkasakan golongan lelaki dengan ciri-ciri kepimpinan yang tinggi dalam usaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan dan sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata inisiatif itu berdasarkan kerangka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang mementingkan pembinaan Keluarga Malaysia melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) dalam strategi pengukuhan institusi keluarga dan sosial.

Beliau berkata inisiatif itu susulan terdapat beberapa kes yang dilaporkan media mengenai keganasan rumah tangga serta masalah dalam institusi kekeluargaan dan sosial yang dilihat mampu memberi kesan kepada negara sekiranya tidak dibendung.

“Kita tidak mahu apabila telah sampai satu (peringkat) kemajuan dari segi material, namun ‘foundation’ (asas institusi sosial dan kekeluargaan) ini rosak sehingga menyebabkan kita terpaksa perbaiki balik menyebabkan kerugian dari segi masa dan wang ringgit.

“Pembangunan manusia iaitu modal insan ini mesti bermula daripada keluarga. Ketua kepada keluarga pula ialah lelaki yang merupakan tonggaknya. Dengan asas inilah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama-sama agensi lain berjaya hasilkan dokumen ini, hasil perbincangan meja bulat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan dokumen ILQ di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Idris berkata inti pati dokumen itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan kerjasama pemegang taruh dan pelbagai agensi agar usaha itu dapat disalurkan ke peringkat akar umbi menerusi bengkel perkahwinan dan sebagainya.

“Sekarang kita sudah mempunyai dokumennya, nanti pihak Jakim akan lantik pegawai mereka untuk memerhatikan perjalanan inisiatif ini,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply