DUA BERADIK MAUT SELEPAS MAKAN SISA MAKANAN DARI TONG SAMPAH

LANGKAWI: Dua beradik warga Myanmar ditemui maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata, polis menerima laporan berkenaan kematian mangsa dikenali sebagai Nizambudin, 4 tahun manakala adiknya Ngei Jamaludin, 2 tahun, kira-kira jam 6.15 petang.

“Siasatan awal mendapati, pada 5.30 petang bapa mangsa yang berumur 36 tahun ternampak dua anaknya berada di kawasan tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum mengangkat kedua-dua mangsa ke rumah jiran berdekatan.

“Bapa mangsa mendapati mulut kedua-dua anaknya berbuih dan selang beberapa minit kemudian anaknya sudah tidak bernafas,” katanya.

Kematian dua beradik terbabit disahkan petugas perubatan yang tiba bersama polis sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sulyanah Maliha bagi proses bedah siasat.

Ulas Shariman, bapa kanak-kanak terbabit bekerja mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan kerja kampung selain mereka tiada kediaman tetap dan hanya menumpang di rumah jiran.

Kes kematian tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sementara itu, polis telah menahan bapa kepada mayat dua beradik tersebut selepas didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing, malam tadi.

Shariman berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.–AlHijrah Online

Leave a Reply