DUA LELAKI MAUT DALAM NAHAS ELAK HAIWAN MELINTAS

RANTAU PANJANG: Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai bergesel dengan sebuah kereta yang cuba mengelak daripada melanggar seekor binatang di Kampung Rahmat, Lubok Stol, di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.05 melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dinaiki Mohamad Ghadafi Mohd Tahir, 30, dan Kamarodeng Chemae, 28, dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki gaung bersama dengan kereta jenis Perodua Myvi.

Katanya siasatan awal mendapati kereta yang dipandu oleh lelaki berusia 27 tahun itu datang dari arah Rantau Panjang ke Jeli.

“Setiba di lokasi, tiba-tiba seekor binatang yang tidak dikenal pasti telah melintasi jalan dari arah kiri ke kanan.

“Kereta terbabit cuba mengelak dan memasuki jalan bertentangan lalu bergesel dengan motosikal yang datang dari arah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki gaung.

Mohd Ghadafi disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan sementara Kamarodeng meninggal semasa dalam perjalanan ke Hospital Lati.

Manakala pemandu dan penumpang kereta terbabit menerima rawatan sebagai pesakit luar di zon kuning hospital yang sama.—AlHijrah Online

Leave a Reply