SEMPORNA: Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag dilaporkan cedera dalam kejadian jeti roboh di sini, hari ini.
Kedua-dua murid tersebut dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bibir dan tangan, akibat terkena serpihan kayu serta simen jeti yang roboh itu.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Abidin Marjan berkata kejadian itu berlaku pada 6.45 pagi tadi, ketika murid tersebut sedang turun dari bot mereka untuk ke jeti tersebut.
“Ketika kejadian dua orang guru turut terjun membantu menyelamat. Guru dan murid lain yang terlibat dalam kejadian itu telah dibenarkan pulang dan tiada kecederaan berat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata jeti itu merupakan sebuah jeti kampung yang menjadi jeti utama untuk ke Sekolah Kebangsaan Pulau Pababag.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan hari ini memberitahu, kementerian itu melalui Pejabat Pendidikan Daerah Semporna, telah mengambil langkah dengan menyiasat punca kejadian dan menyediakan bantuan segera, kepada semua mangsa terlibat.
“KPM memandang serius terhadap insiden tersebut dan akan memastikan aspek keselamatan ditingkatkan, dengan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan dan keadaan struktur jeti yang selamat digunakan.
“KPM juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat, untuk membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti sedia ada, bagi memastikan agar kejadian seperti ini tidak berulang,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan usaha untuk memberikan bantuan sokongan psikososial terhadap guru dan murid yang menjadi mangsa akan terus digiatkan, selain KPM juga akan memohon pihak kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk murid, ibu bapa dan guru ke sekolah.—AlHijrah Online