DUA PENJENAYAH LARIKAN DIRI, POLIS LEPASKAN 9 DAS TEMBAKAN

KUALA LUMPUR: Polis melepaskan sembilan das tembakan ke arah sebuah kereta dinaiki dua penjenayah yang melarikan diri daripada pemeriksaan dalam kejadian di Jalan Kepong, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sedang membuat rondaan dan terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau dalam keadan mencurigakan, kira-kira jam 7.45 pagi.
“Anggota cuba memberhentikan kenderaan itu namun suspek bertindak melarikan diri dan melanggar kenderaan orang awam.
“Suspek kemudian mengundurkan kenderaan dan melanggar anggota polis hingga mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, polis bertindak melepaskan sembilan das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek hingga terbabas di tepi jalan bagi mempertahankan diri.
Tambahnya, identiti kedua-dua suspek telah dikenal pasti namun mereka berjaya melarikan diri.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307/ 353 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian dan mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.—AlHijrah Online