PRN: POLIS TAHAN LELAKI BAKAR BENDERA PAKATAN HARAPAN

Sumber Gambar: BERNAMA

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki yang bertindak membakar bendera parti politik Pakatan Harapan serta merosakkan gegantung (banner) di Taman Damai, Batu Arang, Gombak, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Seksyen 435 Kanun Keseksaan mendefinisikan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan yang berharga sebanyak RM50 atau lebih.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussein berkata, pihaknya menerima 67 laporan dan membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 akta sama berkaitan pilihan raya negeri (PRN), pada Ahad.

Sebanyak 65 laporan polis diklasifikasikan sebagai NOD (no offence diclosed) iaitu laporan polis yang dibuat tidak ada berlakunya apa-apa kesalahan dan tangkapan, katanya.

“Laporan itu dibuat oleh pasukan Ops Cantas yang melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi Ops Cantas PRN Selangor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Polis Selangor turut mendapati tiga kempen dijalankan tanpa permit selain 276 kempen dan 105 ceramah dijalankan dengan memiliki permit.

“Semua calon parti serta penganjur perlu memastikan agar tidak menyentuh isu-isu sensitif dan fitnah ketika ceramah diadakan selain tidak memuat naik sebarang kenyataan di media sosial yang boleh mendatangkan provokasi terhadap parti lain,” katanya lagi.

Jika berlaku kesalahan, kes boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu membabitkan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.—AlHijrah Online

Leave a Reply