DUA PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT NAHAS LIMA KENDERAAN DI LPT1

Sumber Gambar: Media Sosial

KUANTAN: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan termasuk sebuah kenderaan tentera di Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT1) arah timur pada kilometer 199.3, di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 6.15 petang itu penunggang motosikal Kamarul Husnain Khaharuddin, 27 dan Mohammad Haniz Azroyy Hazani, 26 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala pemandu kenderaan tentera dan dua kereta jenis Perodua Axia yang berusia 21 hingga 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kemalangan berlaku apabila kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.

“Apabila tiba dilokasi kejadian, motosikal ditunggangi mereka dipercayai terlanggar sesama sendiri lalu terjatuh ke tengah laluan.

“Pada masa yang sama, kenderaan tentera dari arah sama gagal mengelak lalu terlanggar motosikal salah seorang mangsa yang terjatuh di laluannya.

“Sementara itu, salah sebuah kereta terlanggar bahagian belakang kenderaan tentera manakala kereta dipandu pelajar universiti yang bergerak di lorong kiri cuba mengelak ke lorong kecemasan namun terlanggar motosikal seorang lagi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.

Pihak polis telah meneliti rakaman video yang diperoleh dan keterangan saksi bagi membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply