DU’AT AL FALAH, 250 PENDAKWAH DILANTIK BIMBING KEFAHAMAN MASYARAKAT MALAYSIA MADANI

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini melancarkan Du’at Al-Falah, sebuah gabungan pendakwah terdiri dari kalangan ahli ilmuwan, golongan profesional dan para asatizah.

Menterinya Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Du’at Al Falah membawa pendekatan kesederhanaan dan berpegang teguh dengan asas akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar.

“Objektifnya bagi melahirkan Du’at (pendakwah) yang sentiasa mendidik masyarakat setempat dan komuniti dengan enam nilai teras Malaysia Madani selain mewujudkan ejen dakwah yang membawa pendekatan sederhana (wasatiy), pemikiran bertamadun (madaniyyah) dalam proses perubahan (islah) serta menegak keadilan sosial di Malaysia.

“Seramai 250 orang yang terpilih sebagai Du’at Al-Falah ini bertindak sebagai pembentuk watak du’at selaras dengan nilai wasatiyah, hikmah, rahmah, matang dan cerdas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Mohd Na’im, Du’at Al Falah terdiri dari kalangan para pendakwah yang telah dikenal pasti menerusi pengesyoran oleh institusi dan organisasi dakwah berdasarkan tiga kategori iaitu Du’at Komuniti, Du’at Akademia, dan Du’at Belia.

“Ini merupakan salah satu usaha membentuk komuniti pendakwah yang soleh dan musleh selain para pendakwah akan menjadi ikon contoh dalam mengangkat nilai akhlak jua prinsip keagamaan yang menghormati nilai kemanusiaan (insaniyah) dan menolak segala bentuk kekerasan (ghuluw) dalam beragama.

“Semoga para Du’at al-Falah akan menjadi pembimbing masyarakat bagi meningkatkan kualiti ilmu pengetahuan Islam yang sebenar dan menerapkan nilai-nilai unggul Malaysia Madani dalam komuniti di segenap peringkat seperti dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply