E-WASIAT: PENGURUSAN HARTA PUSAKA, WASIAT SECARA DIGITAL

Last Updated on

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperkenalkan sistem e-Wasiat bagi membolehkan umat Islam melaksanakan pengurusan harta pusaka dan wasiat secara digital dengan lebih mudah, pantas dan efektif.

Melalui sistem ini, MAIS akan melaksanakan pengurusan dan pembahagian wasiat dan harta pusaka dengan telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada penerima manfaat dan waris.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, pendaftaran wasiat itu secara tidak langsung akan menangani masalah pembahagian harta pusaka dan mengelakkan sebarang isu perebutan harta pusaka antara waris apabila pewasiat meninggal dunia.

Katanya, setakat ini, MAIS menerima lebih 2,000 individu menggunakan perkhidmatan e-Wasiat selepas pelancarannya pada April 2018.

“Berwasiat kini lebih mudah, hanya dengan RM300 sahaja, masyarakat boleh berwasiat dengan e-Wasiat MAIS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan kepentingan penulisan wasiat, MAIS amat berharap umat Islam khususnya di Selangor menggunakan kemudahan ini bagi pengurusan wasiat mereka.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan e-Wasiat boleh melayari laman web di www.mais.gov.my atau melayari laman Facebook Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). – AlHijrah Online

Leave a Reply