NARATHIWAT: Penyanyi lagu ‘Bea sobar bea’ Eda Ezrin dan suami serta empat yang lain dibebaskan mahkamah wilayah Narathiwat di sini hari ini daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November lalu.
Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim terhadap kesemua tertuduh selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan.
Bagi pertuduhan mengambil dadah, kesemua mereka yang berusia antara 26 hingga 35 tahun dihukum penjara enam bulan dan denda 4,000 Baht bersamaan RM526 setiap seorang, namun tempoh penjara itu sudah selesai dan mereka berkelakukan baik.
Sebaik keputusan dibacakan hakim, Eda Ezrin serta lima yang lain menangis dan berpelukan di kandang tertuduh.
Hakim menerusi hujahan penghakiman berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada bukti yang boleh mengaitkan sejumlah dadah berkenaan dengan semua tertuduh.
Malah, katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut tidak menunjukkan bekalan dadah terbabit dibawa oleh mereka, sebaliknya dibawa masuk oleh tiga individu lain.
Bagaimanapun, Eda Ezrin atau Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail dan suami serta empat rakan mereka masih perlu berada dalam penjara untuk tempoh sekurang-kurangnya satu hingga empat bulan lagi.
Peguam bela mewakili Eda Ezrin dan Sufian Abdul Aziz, berkata ia berikutan mereka perlu menunggu sekiranya pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat mahkamah hari ini.
Pagi tadi, Eda ezrin, suami serta empat rakannya tiba di mahkamah wilayah Narathiwat, menaiki trak penjara bagi mendengar keputusan berhubung dua pertuduhan yang dihadapi mereka.
Dua pertuduhan berkenaan adalah memiliki 6,059 pil yaba dan mengambil dadah di pekan sungai Golok pada 1 November tahun lalu, manakala, dua rakan Eda berdepan tiga pertuduhan termasuk memasuki Thailand tanpa dokumen sah. —Alhijrah Online