KANGAR: Seorang pemandu lori didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen Perlis hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki barang kawalan iaitu minyak petrol sebanyak 1,220 liter tanpa lesen di Kampung Wang Kelian, Kaki Bukit dekat Padang Besar pada 2023.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid turut memerintah Muhammad Dinie Fahmi Zulkepli, 24, selaku orang kena saman (OKS) menjalani hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Selain itu, hakim juga memerintahkan wang tunai RM2,501 hasil jualan 1,220 liter minyak petrol disita daripada OKS dijadikan hasil kerajaan dan barangan kes selain barang kawalan tersebut diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk pelupusan.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Dinie Fahmi didakwa memiliki minyak petrol itu dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak petrol itu secara runcit tanpa lesen dikeluarkan oleh pengawal.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Wang Kelian, Kaki Bukit pada 5.10 petang, 18 Sept 2023. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Menurut fakta kes, pemeriksaan di rumah OKS menemukan sejumlah cecair disyaki minyak petrol disimpan dalam tiga tong drum dan 14 tong plastik.
Hasil siasatan lanjut serta laporan kimia mengesahkan cecair itu adalah petrol dan Muhammad Dinie Fahmi gagal mengemukakan dokumen berkaitan lesen atau permit bagi berurus niaga atau membeli dan menyimpan barang kawalan berjadual itu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis S. Mugunthan manakala OKS tidak diwakili peguam.
OKS membayar denda berkenaan. –AlHijrah Online