ELAK BABI, LIMA SAHABAT HAMPIR HILANG NYAWA

ALOR GAJAH: Gara-gara mengelak seekor babi yang melintas jalan, lima sahabat hampir maut selepas kereta jenis Proton Preve yang dinaiki mereka terbabas dan masuk ke dalam longkang di Jalan Melaka Pindah, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata, mangsa yang terlibat ialah Muhammad Nur Hakim Mazlan, Amirul Syahmi Mansor, Muhammad Zulheree Ismail, Mohd. Syarafuddin Suharman dan Khairul Izwan Khairul Azhar yang kesemuanya berusia 22 tahun.

Jelasnya kejadian berlaku sekitar jam 1.45 tengah hari tadi dan kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan, kaki, muka dan kepala.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari A’Famosa Resort, Simpang Ampat menuju ke Krubong.

“Hasil temu bual mendapati, pemandu nampak seekor binatang dipercayai babi melintas di hadapan lalu cuba membrek dan mengelak.

“Disebabkan permukaan jalan basah dan licin, kereta tersebut terbabas ke kiri jalan dan telah melanggar tiang elektrik serta penghadang jalan, lalu terus masuk ke dalam longkang,” katanya.

Bagaimanapun kesemua mangsa yang terlibat selamat dikeluarkan oleh bomba dan dibawa ke Hospital Alor Gajah dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kenderaan terlibat juga telah diserahkan kepada pemilik iaitu waris pemandu kereta tersebut selepas selesai membuat laporan di Balai Polis Trafik Alor Gajah.–AlHijrah Online

Leave a Reply