Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

ENGGAN TERUSKAN HUBUNGAN PUNCA PELAJAR PEREMPUAN DICULIK DEPAN SEKOLAH

DALAM NEGARA

ENGGAN TERUSKAN HUBUNGAN PUNCA PELAJAR PEREMPUAN DICULIK DEPAN SEKOLAH

Gara-gara menolak cinta, seorang pelajar perempuan tingkatan lima sebuah sekolah menengah di ibu negara berdepan detik cemas apabila diculik dan dikurung hampir lima jam sebelum dilepaskan dalam kejadian di Kepong, Jumaat lepas.

KUALA LUMPUR: Gara-gara menolak cinta, seorang pelajar perempuan tingkatan lima sebuah sekolah menengah di ibu negara berdepan detik cemas apabila diculik dan dikurung hampir lima jam sebelum dilepaskan dalam kejadian di Kepong, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata kejadian berlaku pada 7 pagi ketika mangsa berada di hadapan sekolah apabila dihampiri oleh seorang lelaki dan wanita yang tidak dikenali sebelum ditarik secara paksa masuk ke dalam kereta jenis Toyota berwarna putih.

“Mangsa kemudian dibawa ke sebuah inap desa sebelum dilepaskan kembali dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan pada 12 tengah hari, hari yang sama.

“Siasatan mendapati, pelajar berkenaan mengenali seorang daripada suspek yang merupakan bekas teman lelakinya dan motif kes ini ialah suspek tidak berpuas hati kerana pelajar itu memutuskan perhubungan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian itu dimaklumkan oleh guru pelajar berkenaan kepada ibu mangsa berusia 42 tahun yang kemudian membuat laporan polis.

Bertindak atas laporan, Noor Ariffin berkata polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita berumur antara 19 hingga 22 tahun pada 11.30 malam hari yang sama, di sekitar Kepong yang disyaki terlibat dalam kejadian itu serta merampas sebuah kereta Toyota berwarna putih dan sebuah motosikal Yamaha.

Noor Ariffin berkata kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Selasa ini untuk siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.

Beliau berkata orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Yap Ching Chua melalui talian 019-9969649 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-61262222. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading