Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

FATWA BERKAITAN GISBH AKAN DIWARTA DALAM MASA TERDEKAT – EXCO SELANGOR

DALAM NEGARA

FATWA BERKAITAN GISBH AKAN DIWARTA DALAM MASA TERDEKAT – EXCO SELANGOR

SHAH ALAM: Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang menfatwakan amalan dan kepercayaan kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai menyeleweng daripada akidah Islam sebenar dijangka akan diwartakan dalam masa terdekat.

Polis merampas pelbagai jenis buku dan dokumen berkaitan GISBH. — Bernama

SHAH ALAM: Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang menfatwakan amalan dan kepercayaan kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai menyeleweng daripada akidah Islam sebenar dijangka akan diwartakan dalam masa terdekat.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata keputusan tersebut akan dibawa untuk perbincangan dan tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum diserahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi proses pewartaan.

“Prosesnya tidak lama. Kita akan angkat isu ini menerusi MMKN dan kalau semua ahli (MMKN) bersetuju, ia seterusnya akan melalui Penasihat Undang-Undang Negeri untuk pewartaan fatwa (bagi dikuatkuasakan).

“Selepas itu ia akan diwartakan menjadi enakmen kerajaan negeri dan akan dibawa (sebagai usul) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam jangka masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Festival Inovasi Selangor (FIS) 2024 di sini hari ini.

Pada Khamis lepas (3 Okt), Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa terkini yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah, atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Feb 1993.    

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi berkata semua rangkaian perniagaan GISBH di Selangor akan dihentikan dan ditutup selepas fatwa berkenaan dikuatkuasakan, dan percaya tindakan tersebut tidak memberi kesan kepada ekonomi orang Melayu seperti dipertikaikan sesetengah pihak.

“Jangan kita menggembar-gemburkan seolah-olah kumpulan ini sahaja punca ekonomi orang Melayu. Saya tidak faham bagaimana rakyat boleh terima cara penjanaan ekonomi mereka kerana berlakunya penyiksaan, penderaan kanak-kanak dan pengasingan suami isteri.

“Pekerja juga tidak dibayar gaji malah GISBH tidak pernah membayar cukai dan zakat. Kita kena faham perkara ini dan kerajaan negeri tidak akan berkompromi,” katanya. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading