G25 BERSELINDUNG DI SEBALIK PERLEMBAGAAN PERSOAL KEDUDUKAN ISLAM: MAPIM

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kesal dan membantah keras laporan Jawatankuasa Kumpulan Bekas Penjawat Awam (G25) yang mempersoalkan kewujudan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

MAPIM berpendirian G25 kelihatan jelas mahu merungkai status Islam dan agensi-agensi berkaitan dengan Islam di negara ini.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, G25 mempertikai kedudukan agensi Islam terbabit dengan alasan ia bertentangan dengan Perlembagaan.

Beliau berkata pihaknya mendapati kumpulan terbabit mahu mempolemikkan isu Islam dan bidang kuasa agensi Islam di peringkat persekutuan dan negeri untuk mengecilkan peranan Islam hanya sebagai urusan peribadi.

“Hatta dalam hal murtad sekalipun G25 berhujah bahawa ia urusan seseorang individu dan Tuhan semata-mata, agensi Islam tidak perlu masuk campur.

“Jelas, dengan hanya mengguna hujah yang cetek dalam disiplin perundangan Islam dan bagaimana ia digunapakai oleh sesebuah negara berdasarkan dalil yang disepakati oleh jumhur ulama, G25 dengan mudah merumuskan bahawa kesalahan hukuman murtad perlu diketepikan.

“Kami menegaskan bahawa G25 kini memasuki ruang perbahasan yang sangat sensitif dan merbahaya yang boleh mencetuskan kekeliruan dan kemarahan umat Islam,” kata Mohd Azmi dalam kenyataannya di sini hari ini.

Kumpulan terbabit sebelum ini dilaporkan mendakwa penubuhan MKI dan JAKIM adalah tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Azmi berkata kekeliruan dan debat yang sengaja dicetuskan secara terbuka berusaha menonjolkan seolah-olah kedudukan Islam dan bidang kuasa agensi Islam di Malaysia itu, adalah tidak sah.

“G25 berpegang kepada premis bahawa kedudukan Islam di negara ini mesti dibataskan melalui tafsiran perlembagaan mengikut faham sekular dan dengan itu agama Islam berkedudukan sama taraf dengan agama lain.

“Kami menegaskan pihak kerajaan perlu mempertahankan kedudukan Islam dan segala pembangunan Islam di negara ini,” kata Presiden MAPIM itu.

Beliau menegaskan Majlis Raja-raja Melayu bukan sahaja berkuasa dalam melindungi dan membangunkan Islam di peringkat negeri, malah juga di peringkat kebangsaan.

Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata, G25 tidak berhak mempersoalkan kewujududan, bidang kuasa dan peranan yang diberi kepada agensi seperti JAKIM kerana ia terangkum dalam makna dan konsep Islam adalah agama persekutuan.

“Kami mengesa supaya G25 disiasat oleh pihak berkuasa untuk memastikan semada ia melanggar peruntukan undang-undang yang ada bila menyentuh mengenai kedudukan Islam dalam negara ini,” katanya.

Penubuhan JAKIM bermula dengan MKI (1968) oleh Majlis Raja-raja dan menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) (1974) di Jabatan Perdana Menteri sebelum dinaik taraf menjadi JAKIM pada 1 Januari 1997 sebagai platform di dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam. – AlHijrah Online

Leave a Reply